Rafizi Ramli menyelar pelantikan semula Tengku Zafrul ke dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, mengibaratkannya seperti melantik doktor yang telah tersilap membuat diagnosis untuk merawat pesakit.
SHAH ALAM – Pelantikan semula Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan diibaratkan seperti melantik semula 'doktor yang telah membuat diagnosis salah' untuk merawat pesakit yang sedang menderita, tegas Rafizi Ramli.
Bercakap dalam siri Jelajah Trak Kancil di Shah Alam, bekas Ahli Parlimen Pandan itu mendedahkan beliau sejak awal lagi telah menyuarakan bantahan terhadap pelantikan tersebut, memandangkan kepimpinan terdahulu sering mengkritik dasar ekonomi Tengku Zafrul sewaktu era pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Menurut Rafizi, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lantang mempersoalkan dasar ekonomi Tengku Zafrul selama 33 bulan dan melabel beliau sebagai 'Menteri Kewangan Bank' dan bukannya 'Menteri Kewangan Rakyat'.
"Bila Anwar masuk sebagai kerajaan, benda pertama yang dibuat ialah lantik balik Tengku Zafrul. Ini bukan soal peribadi Zafrul, tetapi soal analogi doktor tadi. Kalau ambil doktor yang sama yang buat diagnosis salah dan suruh dia rawat lagi pesakit itu, akhirnya pesakit itu akan rosak," katanya di hadapan para penyokong.
Jelas beliau, tindakan mengekalkan tokoh yang sama mengakibatkan dasar-dasar ekonomi lama diteruskan tanpa pembaharuan menyeluruh dan struktur yang sepatutnya diperlukan oleh rakyat dalam mendepani krisis kos sara hidup serta cabaran negara menua.
Mengulas dakwaan kononnya beliau berdiam diri ketika pembentukan kerajaan, Rafizi menegaskan bahawa beliau tidak bersikap melulu dengan terus mengadakan demonstrasi, sebaliknya telah menyampaikan pandangan dan bantahan secara saluran dalaman.
Dalam pada itu, Rafizi turut mengaitkan kepentingan integriti dan prinsip akauntabiliti dalam kepimpinan negara dengan merujuk pendedahan kes siasatan Tabung Haji terdahulu, menegaskan perlunya pemimpin masa kini berani bersuara agar tidak menanggung 'saham' atas kegagalan sistemik yang membebankan generasi masa depan.